vxlogo enovate 2017

 

Kursus Pengurusan Fail & Rekod

Kursus pengurusan fail rekod

26-27 Februari 2018 – Satu kursus pengurusan fail dan rekod dengan kerjasama daripada Arkib Negara Malaysia telah diadakan untuk staf-staf Pusat Pengetahuan, Komunikasi Dan Teknologi yang bertempat di Bilik Seminar PPKT. Kursus ini telah melibatkan staf - staf dari pelbagai jawatan dan dari pelbagai unit yang berkaitan dengan pengurusan fail dan rekod terutamanya Unit Pentadbiran.

Dua orang penceramah dari Arkib Negera telah dijemput untuk sesi perkongsian ilmu mengenai pengurusan fail dan rekod yang efektif iaitu Encik Roslan Bin Mohd Radzi dan Encik Nazrin Shah Bin Nazeri. Kursus ini telah dijalankan selama dua hari. Pada hari pertama para peserta kursus banyak diberi penerangan mengenai cara pengendalian fail dan rekod yang asal iaitu mengikut ‘British Standard’ dan mematuhi piawaian jabatan kerajaan. Hari pertama perjalanan kursus ini sepenuhnya dikelolakan oleh Encik Roslan.

Manakala pada hari kedua pula, para peserta diberi penerangan mengenai cara yang selamat dan tepat untuk menyimpan fail dan rekod serta peralatan-peralatan yang sesuai untuk digunakan bagi tujuan penyimpanan fail dan rekod. Encik Nazrin Shah juga turut memberikan tugasan berkumpulan kepada para peserta pada sebelah petang selepas jamuan makan tengah hari.

Kursus selama dua hari yang melibatkan seramai 32 peserta ini telah ditamatkan pada jam lebih kurang 4.30 petang dengan sesi penyampaian cenderahati kepada pihak Arkib Negara tanda terima kasih kerana sudi hadir bagi berkongsi ilmu dengan pihak PPKT.

 

Teks & Foto :  Nizam


.