Seminar Kerajaan Digital 2016@USM

 

Seminar Kerajaan Digital 2016

11 Oktober 2016 - Seminar Kerajaan Digital 2016 anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dengan bertemakan “Kerajaan Digital: Manifestasi Baharu Keunggulan Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan”, telah diadakan di Dewan Budaya, USM pada 11 Oktober 2016. Seminar Kerajaan Digital ini bertujuan untuk mempromosi dan memberi pendedahan kepada pegawai dan anggota jabatan/agensi peringkat negeri mengenai hala tuju strategik dan perancangan ICT peringkat kebangsaan serta global. Selain itu, ia juga merupakan platform di mana jabatan/agensi dapat berkongsi mengenai pengalaman dan amalan terbaik pelaksanaan inisiatif Kerajaan Digital. Buat julung kalinya, seminar ini turut mensasarkan Generasi Y yang terdiri daripada pelajar peringkat IPTA/IPTS di negeri Pulau Pinang sebagai promosi kepada penggunaan Perkhidmatan Digital Kerajaan. 

USM selaku tuan rumah, telah diberi kesempatan untuk menyertai pameran semasa seminar tersebut. ‘Booth’ pameran USM yang diwakili oleh PPKT telah menyediakan maklumat perkongsian untuk sistem-sistem aplikasi utama kepada para pengunjung pameran yang melibatkan CampusOnline V2, MyCPD, MyCSD dan HCMS. Lima (5) ‘booth’ pameran lain telah disertai oleh HP, Nexagate, TM, IBM dan Map2U. Ucapan perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Farizan Darus, SUK Negeri Pulau Pinang. Turut hadir adalah Naib Canselor USM, Y.Bhg. Prof. Datuk Dr. Asma Ismail dan Y.Bhg. Dato’ Hj Ghazali Derahman, Timb. SUK (Pengurusan) Merangkap CIO Negeri. Sebanyak 6 pembentangan di dalam 2 sesi berkaitan Adaptasi Strategi Kerajaan Digital serta Jerayawara (show case) Projek Kerajaan Digital telah diadakan. Majlis diakhiri dengan pemberian hadiah kepada para pemenang pertandingan kuiz dan cabutan bertuah.

Teks & Gambar :  Abdul Rashid

usma1a6a8a4a3a2a5expert